KUALA LUMPUR
: Seramai 7,000 orang kanak-kanak Orang Asli berusia enam hingga 12 tahun
didapati tidak bersekolah, menurut kajian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(Suhakam) pada tahun 2010 hingga 2011.
Pegawai Bahagian
Pendidikan dan Perhubungan Awam Suhakam Hasmah Abd Manaf berkata kajian itu
dibuat menerusi lawatan suruhanjaya itu ke 93 buah sekolah Orang Asli di
seluruh Semenanjung.
"Masalah
pengangkutan dan jalan penghubung menjadi penghalang untuk kanak-kanak ini ke
sekolah memandangkan kawasan (penempatan) mereka terletak di pedalaman dan di
hutan.
"Ada kanak-kanak
yang tidak bersekolah langsung juga disebabkan oleh tiada sekolah dibina di
kawasan mereka selain ada sekolah yang terletak jauh dari kawasan penempatan
mereka," katanya pada sidang media mengenai Hak Pendidikan dan
Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)) di sini, Isnin.
Hasmah berkata selain
itu, masalah lain kanak-kanak Orang Asli ialah mereka tidak diajar mengenai
bahasa (ibunda) mereka di sekolah.
Menurut Perkara 30
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, kanak-kanak dari komuniti minoriti dan
penduduk asli mempunyai hak untuk menikmati kebudayaan mereka dan mengamalkan
bahasa dan agama mereka sendiri.
"Orang Asli
seharusnya belajar menggunakan bahasa mereka untuk meneruskan kelangsungan
budaya mereka," katanya.
Beliau berkata Suhakam turut
melawat 21 buah Sekolah Agama Rakyat (S.A.R) di Pahang dan Selangor dan tujuh
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terletak di ladang dan estet di
Perlis dan Kedah pada tahun ini,.
Hasmah berkata bantuan
daripada pihak berwajib seperti kemudahan prasarana dan teknologi maklumat amat
kurang dan ini menyebabkan murid serta guru tidak berpeluang menggunakan
kemudahan tersebut dan menimba ilmu menerusi internet.
Beliau berkata kebanyakan
S.A.R mempunyai masalah pendaftaran dan mereka tetap terus beroperasi walaupun
tidak mematuhi syarat-syarat pendaftaran.
"Apabila tidak
mematuhi syarat, maka permohonan untuk pendaftaran tidak diluluskan dan mereka
dibiarkan begitu sahaja dan beroperasi seperti biasa, sedang masyarakat pula
bergantung kepada sekolah ini untuk menghantar anak mereka.
Sementara itu,
Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah berkata ada murid yang tiada
dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka tidak boleh menduduki peperiksaan
awam dan guru pula tidak tahu bagaimana untuk menguruskan anak murid mereka.
"Inilah kelemahan
dalam pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran untuk menyedarkan pihak
tertentu supaya mendaftarkan anak mereka. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga
harus memainkan peranan membantu masyarakat dan bukannya menghukum
mereka," katanya.
Beliau berkata Suhakam
turut menerima aduan bahawa sebuah sekolah pendidikan khas bagi kanak-kanak
cacat pendengaran di Pulau Pinang tidak mempunyai guru terlatih dalam bahasa
isyarat yang cukup.
"Daripada 52 orang
guru, hanya empat yang pandai berbahasa isyarat.
"Guru-guru yang
terlatih dalam bahasa isyarat dipindahkan ke sekolah biasa. Ini tidak boleh
diterima, tindakan ini mencabuli hak kanak-kanak pekak," katanya. Justeru,
Muhammad Sha'ani berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran harus
mengambil perhatian terhadap permasalahan ini bagi memastikan setiap
kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti dan sama-rata. -BERNAMA